BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta menerusi Projek Connecting Jepak bagi memperkukuhkan capaian internet di 74 rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menggunakan teknologi jalur lebar satelit.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, lapan rumah panjang dikenal pasti mempunyai kekuatan isyarat rendah, manakala ujian kelajuan menunjukkan capaian muat turun di lokasi terbabit di bawah 35 megabit sesaat (Mbps).
“Teknologi satelit itu turut berfungsi sebagai sistem komunikasi alternatif yang lebih berdaya tahan ketika berlaku gangguan rangkaian atau bencana, termasuk banjir.
“Keadaan ini menunjukkan kita bukan sahaja memerlukan capaian internet, tetapi juga sistem komunikasi yang lebih berdaya tahan dan boleh menjadi alternatif apabila infrastruktur biasa terjejas,” katanya ketika melancarkan projek berkenaan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau berkata, capaian internet yang lebih baik turut memberi manfaat kepada pendidikan, perniagaan dan akses perkhidmatan kerajaan dalam talian.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjaga kemudahan yang disediakan bagi memastikan manfaat projek itu dapat dinikmati secara berterusan.
