SARATOK: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak terus memainkan peranannya untuk kekal relevan membawa suara masyarakat ke peringkat kepimpinan.
Timbalan Pergerakan Pemuda Parti PBB, Allan Siden Gramong berkata, penglibatan aktif golongan muda amat penting dalam mengenal pasti isu serta keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, program seperti Segulai Sejalai bukan sekadar medan pertemuan, sebaliknya platform untuk pemimpin dan ahli pelbagai sayap parti berkongsi pandangan, membina jaringan serta memahami denyut nadi masyarakat.
“Golongan belia perlu diberikan ruang dan peluang untuk menimba pengalaman, membina keyakinan serta memainkan peranan dalam pelaksanaan program di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada Program Segulai Sejalai anjuran Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Krian di sini, hari ini.
Allan berkata, proses membentuk kepimpinan perlu bermula sejak peringkat belia sebagai persediaan untuk menggalas tanggungjawab lebih besar dalam parti dan masyarakat pada masa depan.
Katanya, kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung kepada kepimpinan, tetapi turut berteraskan kesatuan, perpaduan dan sokongan ahli di semua peringkat.
“Pemuda terus memberikan sokongan kepada kepimpinan parti serta mempertahankan perpaduan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Program berkenaan disertai kira-kira 150 ahli daripada ketua-ketua Pergerakan Pemuda dan wakil cawangan, barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda, Wanita serta Sayap Belia Cawangan Krian.
Turut hadir Ketua Cawangan Parti PBB Krian, Bell Bernard Aggan dan Penolong Bendahari Majlis Kerja Tertinggi (MT) Pergerakan Pemuda, Afiq Fikri Brahim.
