Sarawak, China perkukuhkan hubungan ekonomi melalui pelaburan strategik

SHANGHAI, CHINA: Pelabur China menyatakan komitmen pelaburan melebihi RM25 bilion di Sarawak merangkumi tenaga solar, industri berasaskan kayu, dron dan penyimpanan bateri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, komitmen itu berdasarkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan utama serta hab tenaga hijau yang sedang berkembang di Asia Tenggara.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, perdagangan dua hala di antara Sarawak dan China turut mencecah RM26.8 bilion pada 2024.

“Komitmen dan peningkatan perdagangan dua hala itu mengukuhkan hubungan ekonomi jangka panjang Sarawak dengan China,” katanya pada sesi Meja Bulat Pelaburan Strategik Sarawak-China yang berlangsung di Hotel Alila, Shanghai semalam.

Awang Tengah mengetuai delegasi Sarawak mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat terkemuka China serta persatuan industri bagi merancakkan pelaburan konkrit, pemindahan teknologi dan kerjasama strategik rentas sempadan.

Acara berkenaan turut menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) di antara entiti perniagaan Sarawak dan China. Ia sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap negeri Sarawak.

“Sarawak bukan sekadar mencari pelaburan, sebaliknya menawarkan perkongsian strategik. Di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak sedang melakukan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang makmur, inklusif dan kelestarian alam sekitar.

“Dengan tenaga hidro bersih yang menjana lebih 70 peratus bekalan elektrik, kadar utiliti yang kompetitif, akses maritim strategik kepada 680 juta pengguna ASEAN serta insentif cukai yang komprehensif, Sarawak menawarkan pintu masuk ideal kepada syarikat global yang berhasrat mengurangkan pelepasan karbon dan mengembangkan operasi,” katanya.

Meja bulat berkenaan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan usaha sama dalam bidang tenaga hijau dan penyimpanan bateri, ekonomi kitaran, automasi dan robotik, selain infrastruktur digital serta kecerdasan buatan (AI).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dan InvestSarawak menegaskan komitmen mereka untuk membimbing bakal pelabur dalam setiap peringkat pelaksanaan operasi mereka di Sarawak.

Awang Tengah turut disertai pegawai kanan antaranya Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dan Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datu Lester Matthew, Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Sdn. Bhd, Timothy Ong, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn. Bhd.;
Shariman Jamil, Pengarah MIDA Shanghai, Muhammad Sawaddee Islamuddin, dan Pengarah MATRADE Shanghai, Norman Dzulkarnain Mohd Nasri.