Tukun tiruan bantu tingkatkan hasil nelayan

TANJUNG MANIS: Inisiatif menempatkan tukun tiruan di kawasan perairan Sarawak dan memulihara hutan bakau di tebing pantai berjaya mewujudkan habitat baharu hidupan marin negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penempatan itu khususnya berjaya membantu mewujudkan habitat baharu hidupan marin, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan nelayan.

“Inisiatif itu turut menyokong usaha memulihara ekosistem laut serta memastikan sumber perikanan dapat dikekalkan untuk jangka panjang,” katanya selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Dalam Penjagaan Alam Sekitar Ke Arah Pembangunan Mampan di Kompleks Industri Perabot Pusaka Tanjung Manis (KIPPTM), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan hutan bakau yang dipelihara pula menjadi habitat dan lokasi pembiakan penting bagi pelbagai hidupan marin, termasuk udang, selain menyokong keseimbangan ekosistem pesisir.

“Projek tukun tiruan dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama membabitkan peruntukan kira-kira RM70 juta bagi menyediakan kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan laut,” katanya.

Len Talif berkata, peningkatan hasil tangkapan selepas penempatan tukun tiruan sudah dilihat di beberapa lokasi termasuk Belawai, Pulau Bruit, Lundu dan Kabong yang memberi manfaat kepada komuniti nelayan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap projek pembangunan di Sarawak perlu mematuhi keperluan alam sekitar ditetapkan NREB, khususnya projek yang tertakluk kepada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).