KUCHING: Kerjasama strategik AFFIN Bank Berhad dan Kuching City FC menyasarkan penampilan pasukan itu di pentas bola sepak ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama berkenaan menjadi antara usaha membawa Kuching City FC ke tahap persaingan lebih tinggi.
“Kita perlu mempunyai cita-cita untuk melangkah lebih jauh untuk mencapai kejayaan di peringkat ASEAN serta beraksi dalam Liga AFC bagi musim 2026-2027,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik di antara Affin Bank Berhad dan Kuching City FC, di sini, hari ini.
Menurutnya, pencapaian Kuching City FC yang mara ke final dan berdepan Johor menunjukkan peningkatan tahap permainan pasukan berkenaan.
Perkembangan itu jauh berbeza berbanding sekitar tahun 2000-an ketika jumlah kehadiran penonton pada perlawanan Sarawak di Stadium Negeri masih rendah.
Katanya, penubuhan Liga Bola Sepak Kuching sebelum ini menjadi antara langkah membentuk pasukan yang mampu bersaing dalam arena bola sepak Malaysia.
“Kuching City FC mempunyai aspirasi untuk menjadi juara.
“Kita tidak menyertai sesuatu pertandingan tanpa mempunyai cita-cita untuk menang, begitu juga dengan AFFIN yang mempunyai aspirasi untuk menjadi peneraju dalam sektor perbankan,” tambahnya.
Abang Johari berkata, keyakinan, pembiayaan dan strategi menjadi antara elemen penting untuk mencapai aspirasi dalam bidang masing-masing.
Beliau berkata, sektor perbankan dan kewangan turut mempunyai peranan strategik dalam pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya ketika negeri itu berada di hadapan dalam sektor tenaga dan tenaga hijau.
Selain itu, perbincangan bersama komuniti perniagaan Indonesia turut mencetuskan cadangan pembentukan Komuniti Perniagaan Borneo
manakala kedudukan Borneo sebagai platform ekonomi boleh menyokong peranan Sarawak dalam pembangunan ASEAN.
Beliau berkata, peranan Sarawak sebagai antara pembekal tenaga kepada ASEAN melalui Rangkaian Grid Tenaga ASEAN turut membuka peluang baharu termasuk dalam bidang sukan dan bola sepak.
