KUCHING: Kuching City FC menyasarkan untuk menjadikan Kuching dan Sarawak sebagai kuasa besar pembangunan bola sepak di rantau ini.
Presiden Kuching City FC merangkap Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kemaraan kelab itu ke pentas serantau menjadi pencapaian penting selepas melalui perjalanan panjang sejak 2012.
“Kami mahu Kuching City FC dan Sarawak dikenali sebagai kuasa besar dalam pembangunan bola sepak di rantau ini,” katanya semasa berucap di Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik di antara Affin Bank Berhad dan Kuching City FC, di sini, hari ini.
Majlis tersebut disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Affin Bank Berhad, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim serta Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Affin Bank Berhad, Datu Elean Masa’at.
Beliau berkata, pembangunan Kuching City FC bermula dengan sokongan Premier Sarawak ketika menjadi Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Satok, termasuk menerusi penganjuran Piala Datuk Abang Jo sejak 2012.
Katanya, pasukan Kuching kemudian menyertai Liga Bola Sepak Rakyat pada 2015 dan muncul juara sebelum membina pasukan yang mampu bersaing di tahap tertinggi pada 2017.
Fazzrudin berkata, Kuching City FC kemudiannya mara daripada peringkat terendah bola sepak Malaysia ke Liga Super dan pentas akhir pertandingan utama domestik.
“Kini, buat pertama kalinya, Kuching City FC akan membawa nama Kuching dan Sarawak ke pentas Kejuaraan Kelab Asia, iaitu Shopee Cup.
“Bagi kami, ia merupakan satu pencapaian yang sangat istimewa,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama sebagai rakan perbankan rasmi Kuching City FC melangkaui aspek penajaan dengan matlamat menyokong pembangunan sukan, komuniti dan ekonomi.
“Kami percaya kejayaan dalam bidang sukan dan kemajuan ekonomi mampu saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Wan Razly berkata, kekuatan Kuching City FC dalam sukan, kerja berpasukan, strategi dan cita-cita dapat digabungkan dengan keupayaan kewangan serta kepakaran digital AFFIN bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada kelab, penyokong dan masyarakat.
Kejayaan sukan turut memberi manfaat di luar padang melalui peluang dalam sektor pelancongan, perniagaan dan aktiviti ekonomi tempatan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Kuching dan Sarawak secara keseluruhan.
