KUCHING: Gerakan koperasi Sarawak perlu meneroka sektor ekonomi baharu termasuk pertanian moden, industri makanan, logistik, pelancongan, tenaga, pembuatan termaju dan ekonomi digital.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, koperasi juga perlu meningkatkan skala perniagaan dan menyertai rantaian bekalan yang lebih besar.
“Koperasi perlu melihat diri mereka sebagai sebuah entiti perniagaan yang mempunyai potensi untuk berkembang, membina jenama sendiri, menguasai pasaran dan mengambil bahagian dalam sektor ekonomi utama,” katanya semasa merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Peringkat Negeri Sarawak 2026, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, koperasi boleh menghimpunkan pengusaha kecil, petani, nelayan, pengusaha makanan dan usahawan tempatan bagi mewujudkan skala ekonomi lebih besar, akses pasaran lebih baik serta kuasa rundingan lebih tinggi.
Koperasi di luar bandar pula katanya, turut berpeluang bersaing dengan koperasi di bandar melalui insentif, geran dan program latihan yang disediakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta agensi Persekutuan dan Negeri.
Beliau turut menggesa koperasi memanfaatkan teknologi digital bagi membolehkan produk dari pedalaman seperti Bario, Batang Ai dan Sematan mencapai pasaran yang lebih luas.
“Teknologi membolehkan koperasi yang berada di Bario, Batang Ai dan Sematan serta koperasi di pedalaman akan berjaya seiring koperasi di bandar bertaraf antarabangsa untuk menjual produk kepada pelanggan yang luas,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata penglibatan koperasi dalam rantaian bekalan global perlu disokong dengan peningkatan standard produk dan perkhidmatan bagi memenuhi piawaian perolehan syarikat multinasional yang melabur di Sarawak.
Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus, integriti, pengurusan profesional dan ketelusan kerana koperasi mengurus kepentingan serta wang anggota, selain menyambut pelancaran Buku Profil Koperasi Terbaik Negeri Sarawak 2024–2025 yang menampilkan 100 koperasi dewasa, perintis dan koperasi sekolah. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKI
