Kpg Pinang jadi destinasi pelancongan rekreasi baharu

KOTA SAMARAHAN: Kejayaan melahirkan beberapa usahawan pengangkutan sungai untuk memancing membolehkan Kampung Pinang di sini dibangunkan menjadi destinasi pelancongan rekreasi yang baharu.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, destinasi pelancongan rekreasi (memancing) itu akan mewujudkan aktiviti ekonomi sampingan seperti inap desa, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kegiatan lain.

“Kesemua ekosistem yang dimiliki itu perlu diambil kesempatan oleh penduduk kampung dalam menjana pendapatan,” katanya selepas merasmikan majlis Penyerahan Projek Siap di bawah IRSDA di pekarangan Surau Darul Amanah, Kampung Pinang di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, untuk membangunkan industri itu secara mampan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta usahawan lain, harus mengutamakan aspek keselamatan.

Aktiviti memancing dalam keadaan selamat harus diutamakan kerana di kawasan sungai itu masih ada ancaman, katanya.

Bagi menyokong pembangunan aktiviti itu, beliau berkata, kerajaan melalui IRSDA akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan seperti membina jeti atas permohonan penduduk kampung.

Menurut Rubiah, Kampung Pinang adalah salah satu lokasi yang agak mudah dikunjungi dan aktviti memancing menjadi kegemaran penduduk kampung yang kemudian dipromosikan kepada masyarakat luar.

“Kita menambah baik kemudahan di sini khasnya menyedia benteng gavian, gazebo dan dalam masa terdekat dibekalkan dengan lampu jalan untuk penduduk kampung dan pemancing,” katanya.

“Kita boleh memperkenalkan masakan dan makanan tradisional, budaya dan keistimewaan kawasan landai Samarahan seperti kebun dan tempat menarik di tebing sungai.

“Inilah ekosistem yang boleh membantu membangunkan Kampung Pinang dan Samarahan khasnya sebagai destinasi pelancongan di samping program yang berskala besar,” tegas beliau.

Rubiah berkata, IRSDA dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan akan berusaha meningkatkan potensi yang ada dengan menyedia lebih banyak fasiliti bagi menyokong ke arah pembangunan pelancongan di sini.