JULAU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, meneruskan hari kedua XPDC 3.0 dengan meninjau infrastruktur serta keperluan perhubungan masyarakat di Nanga Maong, Nanga Ju, Ulu Ju, Entabai dan Rantau Bandau, semalam.
Lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada beberapa projek penting termasuk projek membina jalan di Nanga Maong, Klinik Nanga Maong, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Rumah Gerasi dan Rumah Mengiring di Ulu Ju.
Projek terbabit kini mencatat kemajuan fizikal 32.25 peratus setakat 25 Julai lalu, sekali gus mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 2.68 peratus berbanding 29.57 peratus yang ditetapkan.
Menurut Uggah, pelaksanaan itu bagi membolehkan Kerajaan Sarawak menilai keadaan jalan bekas balak yang diambil alih untuk dinaik taraf bagi memastikan penduduk di pedalaman mendapat akses lebih baik.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Membina Jalan di Nanga Maong sempena hari kedua XPDC 3.0 Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dekat sini, semalam.
Projek bernilai RM70.18 juta itu dilaksanakan EPR (Kuching) Sdn Bhd dengan Jurutera CSD Sdn Bhd bertindak sebagai perunding.
Projek bermula 29 April 2024 mempunyai tarikh siap semakan pada 5 Mac 2028.
Skop projek merangkumi pembinaan jalan sepanjang 13.6 kilometer (km) mengikut piawaian Modified JKR R1 RC Road, melibatkan Jalan A 8.97 km, Jalan B (4.426km) dan Jalan C (0.19km).
Selain pembinaan jalan, projek itu turut merangkumi tiga jambatan konkrit bertetulang masing-masing sepanjang 70, 60 dan 75 meter bagi meningkatkan keselamatan serta kelancaran perhubungan penduduk.
Tinjauan Uggah kemudian diteruskan ke kawasan SK Nanga Ju sebelum beliau menghadiri Majlis Merarau di Rumah Panjang Robert Masil, Nanga Ju.
Di lokasi berkenaan, beliau turut memaklumkan kelulusan pembinaan jalan masuk ke rumah panjang di Nanga Ju dan Sungai Mujok serta sebuah jambatan keluli.
Ekspedisi diteruskan ke Rumah Gerasi dan Rumah Mengiring di Ulu Ju serta beberapa lokasi di Entabai dan Rantau Bandau bagi menilai keperluan infrastruktur secara lebih menyeluruh.
Sepanjang ekspedisi, Uggah bersama pasukan JKR Sarawak menilai keadaan infrastruktur serta mengenal pasti projek dan penambahbaikan yang perlu bagi memperkukuhkan perhubungan masyarakat, di pedalaman Julau.
