SHANGHAI, CHINA: Sarawak akan mengukuhkan pelaburan bilateral dan perkongsian perindustrian dengan syarikat di China menerusi menandatangani enam perjanjian meliputi sektor pembinaan, robotik, perlombongan dan sumber semula jadi.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa delegasi pelaburan Sarawak mengadakan lawatan ke Shanghai, China semalam.
Majlis menandatangani perjanjian itu meliputi empat Memorandum Persetujuan (MoA) bekerjasama dalam industri pembinaan dan robotik dan dua Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penerokaan dan pembangunan industri perlombongan Sarawak.
Persetujuan itu menandakan satu lagi langkah penting dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan industri antara Sarawak dan China.
Kerjasama itu membuka peluang baharu untuk pelaburan, pemindahan teknologi dan kerjasama antara Sarawak dan syarikat China.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan mengadakan pertemuan dengan ketua syarikat terkemuka China untuk menerokai potensi pelaburan dan mewujud perkongsian strategik dalam sektor utama.
Rundingan itu mengukuhkan lagi kedudukan strategik Sarawak sebagai pintu masuk ke ASEAN.
Ia merupakan komitmen menarik pelaburan bernilai tinggi yang menyokong kelestarian pembangunan, memajukan sektor pengilangan, tenaga dibaharui, pengdigitalan dan menginovasi teknologi.
Awang Tengah berkata, Sarawak mengalu-alukan perkongsian dengan syarikat China yang boleh menyumbang kepada pembangunan industri dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Sarawak.
Beliau ditemani timbalannya, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Kewangan Negeri, pegawai kanan MINTRED, MUDeNR, InvestSarawak, SMD Semikonduktor Sdn.dan wakil MIDA dan MATRADE di Shanghai.
Misi lawatan itu mencerminkan usaha berterusan Sarawak dalam mengukuhkan hubungan ekonomi di peringkat antarabangsa dan meletakkan negeri ini sebagai destinasi pelaburan kompetitif di wilayah ASEAN.
