KUCHING: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM80 juta bagi melaksanakan rawatan keselamatan jalan raya di 99 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan di Jalan Persekutuan seluruh negara tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu turut melibatkan pemasangan lampu jalan baharu di 334 lokasi kemalangan atau kawasan berisiko akibat keadaan jalan yang gelap.
Selain itu, katanya, sebanyak 14 lampu isyarat akan dipasang di persimpangan berisiko, manakala 19 Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) turut dibina.
“Data yang tepat dan berkualiti merupakan asas penting dalam merancang infrastruktur jalan raya yang lebih selamat, cekap dan mampan.
“Melalui Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS), kawasan berisiko tinggi dapat dikenal pasti berdasarkan kriteria tiga kemalangan daripada jenis yang sama atau lima kemalangan daripada pelbagai jenis dalam tempoh tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Kursus Peluasan RAMS dan Pelaporan Data Kemalangan Jalan Raya Mengikut Piawaian PDRM K27 dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Hotel UCSI, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata, pengenalpastian kawasan berisiko itu mengambil kira lingkungan radius 50 meter (m) atau sepanjang jajaran jalan 100m sebelum lokasi berkenaan diberikan perhatian menerusi pelaksanaan rawatan keselamatan jalan raya.
Katanya, KKR turut menyalurkan RM12.53 juta kepada Sarawak bagi pelaksanaan rawatan keselamatan jalan raya di Jalan Persekutuan sepanjang tempoh 2021 hingga 2026.
“Daripada jumlah itu, RM6.275 juta diperuntukkan bagi rawatan di lokasi berisiko, RM5.854 juta untuk pemasangan lampu jalan dan RM400,000 bagi pelaksanaan Program LPKSI,” katanya.
Mengulas RAMS, beliau berkata, sistem berkenaan merupakan antara inisiatif MYJalan yang dibangunkan KKR bagi mengurus, menganalisis dan memaparkan data kemalangan jalan raya secara sistematik, termasuk mengenal pasti lokasi yang kerap berlaku kemalangan.
