KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyambut baik inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memperluaskan akses pendidikan kepada anak-anak Sarawak terutama dalam bidang perubatan.
UNIMAS dalam satu kenyataan berkata, langkah strategik itu untuk membangunkan modal insan dan memperkukuhkan sistem jagaan kesihatan di negeri ini.
Usaha Kerajaan Sarawak dan Yayasan Sarawak dalam menyediakan pelbagai bentuk sokongan pendidikan kepada pelajar yang layak adalah satu inisiatif berpandangan jauh.
Inisiatif seperti Program Biasiswa Perubatan Khas Yayasan Sarawak mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak membangunkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang jagaan kesihatan yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sarawak, kata kenyataan UNIMAS.
UNIMAS sebagai institusi pengajian tinggi awam bagi membantu melahir tenaga kerja profesional negara akan komited menyedia pendidikan perubatan berkualiti tinggi yang memenuhi pawaian profesional dan prosedur akademik yang diperlukan.
Penerimaan ke dalam program Doktor Perubatan UNIMAS berdasarkan keperluan akademik, keperluan profesional dan kapasiti latihan diluluskan, sejajar dengan pawaian ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Biasiswan pendidikan itu ditentukan oleh agensi yang menaja sejajar dengan dasar mereka, kelayakan yang diperlukan, dan mekanisme bantuan kewangan.
UNIMAS menghormati budi bicara agensi yang menaja pelajar terbabit.
UNIMAS percaya kelestarian pembangunan tenaga kerja dalam jagaan kesihatan memerlukan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, kerajaan, institusi jagaan kesihatan dan pemegang taruh yang lain.
Sejak ditubuhkan, UNIMAS memain peranan penting dalam melahir graduan perubatan dan sains kesihatan, yang telah berkhidmat di seluruh negara termasuk ramai anak Sarawak yang telah mengukuhkan sistem jagaan kesihatan di negeri ini.
