HDC sediakan perumahan mampu milik, berkualiti

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan perumahan yang berkualiti, mampu milik dan mampan.

Pengerusi HDC yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, sebagai agensi yang diamanahkan menerajui pembangunan perumahan di negeri ini, HDC sedaya upaya akan memastikan lebih ramai rakyat Sarawak berpeluang memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.

“Rumah bukan sekadar tempat berteduh.

“Tetapi ia adalah asas kepada kesejahteraan dan kestabilan sesebuah keluarga,”katanya dalam ucapan semasa menghadiri majlis Ngiling Bidai 2026 HDC, di Ibu Pejabat HDC di sini hari ini.

Majlis perasmian dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.

Justeru, tambahnya, bagi memenuhi keperluan berkenaan, pelbagai pihak perlu sama -sama memain peranan penting dalam memastikan ia dapat direalisasikan.

“Turut memainkan peranan penting ialah Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd yang menyediakan pembiayaan perumahan yang lebih mudah diakses.

“Inisiatif ini membantu lebih ramai rakyat Sarawak dapat merealisasikan impian untuk memiliki rumah sendiri,”jelasnya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HDC Fathi Hambali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Jamilah Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd, Awang Irwan Awang Shawal.