KUCHING: Ekspo Pertanian Sarawak 2026 (SAF2026) edisi keenam yang akan diadakan mulai 25 September hingga 4 Oktober depan di lapangan terbang lama Bintulu akan tampil lebih komprehensif dengan mengetengahkan pelbagai laman pameran.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, antaranya pavilion pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta, agrotrade, agrofresh, aggrotech dan peladang e-shop.
Pada tahun ini, kementerian juga akan mengadakan ‘Congress on sustainable agriculture and food security (COSAFS 2026)’ di Imperial Hotel Bintulu mulai 3 hingga 6 Ogos depan, katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, bertemakan ‘Menginovasi pertanian untuk keterjaminan makanan’, SAF2026 akan fokus kepada mentransformasi sektor agro-makanan tempatan melalui pemerkasaan teknologi pintar, automasi, digitalisasi serta pengukuhan rantaian makanan yang lebih lestari demi mendepani cabaran sekruriti makanan khususnya di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan SAF2026 pada 28 September depan, katanya.
Beliau menambah, SAF2026 meletakkan sasaran 800,000 pengunjung selama 10 hari program itu diadakan dan menyasarkan penjanaan nilai pulangan jualan mencecah RM6.5 juta.
Ekspo Pertanian Sarawak bukan sekadar sebuah festival jualan, malah merupakan wadah kritikal kerajaan dalam memacu anjakan paradigma sektor pertanian daripada kaedah tradisional kepada pemodelan agriteknologi tinggit selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, katanya.
Fokus utama, katanya, untuk memastikan Sarawak memiliki ekosistem keterjaminan makanan yang lestari, sekali gus memartabatkan usahawan agro tempatan ke peringkat global.
