KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) akan terus melaksanakan semakan berkala terhadap penyewaan Program Perumahan Rakyat (PPR).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, langkah itu bagi memastikan bantuan perumahan awam disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Tegasnya, semakan dibuat di semua skim PPR mengikut dasar dan garis panduan yang ditetapkan.
“Penilaian mengambil kira beberapa faktor termasuk tempoh penyewaan, pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah, rekod pembayaran serta tahap pematuhan penghuni.
“Aspek kebajikan dan keadaan hidup penyewa turut dinilai secara menyeluruh mengikut kes masing-masing bagi memastikan keputusan dibuat secara adil dan berperikemanusiaan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Ngiling Bidai HDC 2026 di Ibu Pejabat HDC di Taman Sukma hari ini.
Teks ucapan Sim dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Jelas beliau lagi, langkah tersebut bukan bertujuan menyusahkan penghuni, sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan.
Ia demi memastikan sumber perumahan awam yang terhad dapat diurus secara telus, adil dan mampan dan demi manfaat lebih ramai keluarga yang memerlukan.
Dalam masa sama, Kerajaan Sarawak juga kekal komited menjaga kebajikan rakyat khususnya golongan B40 dan berpendapatan rendah menerusi pelbagai program perumahan mampu milik.
