KUCHING: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) menuntut pengamal media bukan sahaja menguasai teknologi itu, malah memahami aspek perundangan, etika serta hak cipta dalam penghasilan kandungan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penggunaan AI kini merangkumi hampir setiap bidang termasuk kewartawanan, penciptaan kandungan, muzik, perfileman, animasi dan industri kreatif.
“Perkembangan AI kini merangkumi hampir setiap bidang.
“Ini sekali gus menimbulkan persoalan baharu mengenai pemilikan serta perlindungan hak cipta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Media Sarawak 2026 di Perkampungan Digital TEGAS, di sini, hari ini.
Menurutnya, pengamal media perlu memastikan penyampaian maklumat kekal tepat dan beretika, selain mengambil kira sensitiviti masyarakat serta peruntukan undang-undang berkaitan kandungan digital.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah berkata cadangan penubuhan Persatuan AI Sarawak dijangka menjadi platform menghimpunkan bakat dan penggiat pelbagai industri bagi memperluaskan penggunaan teknologi berkenaan di negeri ini.
Katanya, inisiatif itu melibatkan individu daripada pelbagai bidang termasuk sukan, fesyen, perfileman, muzik dan penciptaan kandungan digital.
Beliau berkata, TEGAS bersedia menyokong usaha penubuhan persatuan itu.
Di samping itu, ujarnya, beberapa siri perbincangan bersama jawatankuasa penaja diadakan bagi memperincikan hala tuju dan matlamatnya.
Bengkel sehari itu disertai kira-kira 150 pengamal media, pegawai perhubungan awam agensi kerajaan dan pencipta kandungan media sosial,.
Matlamatnya meningkatkan kefahaman mengenai teknologi baharu serta mendapatkan maklum balas bagi menambah baik program pada masa hadapan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Udin Bujang dan Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Mohamed Faizal Shah Ali.– NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
