Penyertaan wanita dalam politik boleh capai 60 peratus menjelang 2030

KUCHING: Penyertaan wanita dalam kepimpinan politik negara berpotensi melebihi sasaran 30 peratus, malah boleh mencapai 60 peratus menjelang 2030, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri.

Katanya, sasaran itu boleh dicapai sekiranya golongN itu diberi lebih banyak peluang.

Menurutnya, pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga wajar dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan politik.

“Kalau kita mencari dan memberi peluang kepada mereka untuk memimpin, ia boleh mungkin mencapai sehingga 60 peratus menjelang 2030,” katanya kepada selepas menghadiri Program Kepimpinan Perantis di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, keseimbangan dalam kepimpinan penting bagi memastikan perspektif lelaki dan wanita diambil kira dalam membuat keputusan.

Beliau berkata, usaha membangunkan bakat kepimpinan wanita perlu diteruskan menerusi program pendedahan dan latihan bagi menyediakan lebih ramai calon berpotensi diketengahkan.