Jejambat Medan Jaya dijangka siap Julai 2027

BINTULU: Pihak kontraktor memberi jaminan projek pembinaan Jejambat Jalan Medan Jaya yang menghubungkan Jalan Tun Hussein Onn di sini akan siap sepenuhnya pada Julai 2027.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek terbabit disasarkan siap mengikut jadual baharu selepas isu yang menjejaskan pelaksanaannya sebelum ini dikenal pasti dan diselesaikan.

“Antara punca kelewatannya ialah isu utiliti di tapak projek yang memerlukan lanjutan masa (EOT) diberikan kepada kontraktor,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan jejambat Jalan Medan Jaya yang menghubungkan Jalan Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan respons daripada kontraktor, cadangan mereka untuk menyiapkan projek itu pada Julai tahun depan boleh diterima.

“Bagaimanapun, kalau boleh kita minta disiapkan lebih awal, itu lebih baik, sebelum Gawai,” katanya.

Menurut Alexander, isu berkaitan jalan keluar masuk utama ke kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu yang sebelum ini dikenal pasti sebagai antara perkara yang perlu diselesaikan, kini mempunyai penyelesaian.

Beliau berkata, penyelesaian isu itu penting bagi memastikan kerja pembinaan dapat diteruskan dengan lebih lancar sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya.

Mengulas tindakan yang boleh dikenakan sekiranya kontraktor gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan, Alexander berkata kontraktor tertakluk kepada syarat dan terma kontrak, termasuk bayaran Liquidated and Ascertained Damages (LAD) sekiranya gagal memperoleh EOT.

“Dalam kontrak, kalau dia tidak mendapat EOT, dia kena bayar LAD atau penalti. Itu sudah termasuk dalam kontrak,” katanya.