Sarawak bakal wartakan aset warisan secara berperingkat

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mewartakan aset bernilai sejarah dan warisan secara berperingkat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu bagi memastikan khazanah negeri terus dilindungi untuk generasi akan datang.

“Pewartaan itu bukan sahaja melibatkan bangunan dan monumen bersejarah, malah aset lain yang mempunyai nilai sejarah.

“Antara yang dicadangkan untuk dipertimbangkan ialah pokok kapas di Padang Central,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Inisiatif Program Awam Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dengan kerjasama UNIMAS sempena Perhimpunan Agung Majlis Antarabangsa mengenai Monumen dan Tapak (ICOMOS) 2026 di Hotel Sheraton, di sini, hari ini.

Jelas Abdul Karim, pokok kapas tersebut dikatakan sudah berada di kawasan berkenaan ketika sambutan Hari Malaysia pada 1963.

Di samping itu, tegasnya, terdapat banyak lagi aset di seluruh Sarawak yang sedang dipertimbangkan untuk diwartakan.

Bagaimanapun, proses itu akan dilaksanakan satu demi satu mengikut keutamaan bagi memastikan aset bersejarah terus terpelihara, ujarnya.

Turut hadir, Penasihat OKSHE Datu Dr. Sabariah Putit, Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman dan Timbalan Naib Cancelor UNIMAS, Profesor Al Khalid Othman. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI