KUCHING: Talentpath yang dilancarkan di Bintulu memberi fokus kepada latihan berasaskan keperluan industri serta laluan jelas ke pendidikan lanjut atau pekerjaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif berkenaan menggunakan konsep latihan dan penempatan bagi membentuk kompetensi yang diperlukan industri.
“Talentpath dibina berasaskan konsep latihan dan penempatan memberikan peserta kompetensi berkaitan industri serta laluan yang jelas untuk melanjutkan pendidikan atau mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK): Talent Bridge 2030, di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif itu merupakan antara usaha menyediakan golongan muda dengan kemahiran yang selari dengan perubahan keperluan pasaran tenaga kerja.
Menurutnya, keperluan kemahiran baharu kini turut melibatkan bidang seperti teknologi satelit dan pembuatan cip semikonduktor.
“Kita kini memerlukan kemahiran baharu seperti dalam bidang satelit dan cip litar bersepadu bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga untuk keperluan di peringkat global,” tambahnya.
Beliau turut menggesa kaunselor sekolah mengemas kini sukatan bimbingan kerjaya dengan mengambil kira perkembangan bidang pekerjaan baharu.
Katanya, pendedahan terhadap keperluan industri penting supaya pelajar dapat mengenal pasti kemahiran yang relevan sebelum memilih laluan pendidikan dan kerjaya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan bakat tidak seharusnya terhenti selepas seseorang memperoleh ijazah kerana peningkatan kemahiran dan latihan praktikal turut diperlukan.
Kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan agensi perlu diteruskan bagi memastikan golongan muda mendapat pendedahan kepada keperluan sebenar dunia pekerjaan.
Sementara itu, beliau menyifatkan SPEAK sebagai satu gerakan sosial dan pendidikan yang menjadi jambatan antara potensi golongan muda dengan peluang pendidikan serta pekerjaan. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
