Projek tebatan tebing Batang Mukah diteruskan demi kepentingan rakyat

MUKAH: Pelaksanaan Projek Pemuliharaan Tebingan Batang Mukah antara Sungai Penakub dan Sungai Tellian kini diteruskan selepas beberapa isu dan kekangan sebelum ini berjaya diselesaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kejayaan itu susulan kerjasama pelbagai pihak.

“Penyelesaian berhubung pelaksanaan projek berkenaan dicapai hasil beberapa siri perbincangan, mesyuarat dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek tersebut di Kampung Penakub Permai, selepas menghadiri mesyuarat di Pejabat Daerah Mukah, semalam.

Royston berkata, pendekatan secara bersemuka penting bagi memastikan setiap perkara yang berbangkit dapat diteliti dan diselesaikan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Proses penyelesaian turut memerlukan pertimbangan dan toleransi sewajarnya, terutama dalam memastikan setiap tindakan kekal mematuhi prosedur serta peraturan ditetapkan dalam pelaksanaan projek kerajaan.

“Kerjasama dan komitmen semua pihak amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berharap projek berkenaan disiapkan mengikut perancangan dan memberi manfaat kepada penduduk serta kawasan di sepanjang Batang Mukah.