KUCHING: Negeri Sarawak masih memerlukan kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meneruskan agenda pembangunan dan transformasi Sarawak yang dirangka sejak 2017.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, UKAS dan Penerangan), Datuk Abdullah Saidol berkata, tahun 2030 dilihat sebagai antara tempoh penting dalam mencapai kemuncak pembangunan ekonomi negeri ini.
“Jika saya bercakap secara peribadi sebagai wakil rakyat N. 42, saya boleh katakan bahawa kami masih belum bersedia untuk melihat Premier Sarawak meninggalkan kepimpinan,” katanya kepada media selepas merasmikan Bengkel Media Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, rakyat Sarawak masih memerlukan pemikiran, pengalaman dan kepimpinan beliau kerana masih banyak agenda pembangunan yang ingin dilaksanakan dan belum selesai.
Justeru, rakyat Sarawak mahu melihat sejauh mana agenda tersebut dapat dicapai menjelang 2030, katanya dan menambah, Premier Sarawak masih mempunyai tenaga dan kesihatan yang baik.
“Beliau masih aktif menjalankan tugas dan fikirannya terus bekerja dalam merancang masa depan Sarawak dan saya rasa perkara itu perlu kita fahami.
“Secara peribadi, saya tidak keberatan untuk mengatakan bahawa ramai warga Sarawak masih mahu melihat Premier terus memimpin dan meneruskan agenda pembangunan sehingga tahun 2030 dan mungkin selepas itu,” tegas beliau.
Namun, katanya, perkara yang berlaku selepas 2030 merupakan sesuatu yang masih bersifat spekulasi.
Abdullah juga percaya kepimpinan tertinggi dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), termasuk Premier sendiri, mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan pengganti yang sesuai apabila tiba masanya.
Mengulas mengenai Belanjawan Negeri akan datang, beliau berharap belanjawan negeri dapat bergerak seiring dengan Belanjawan Persekutuan, tetapi pada masa sama harus memahami bahawa Kerajaan Persekutuan juga mempunyai tanggungjawab dan keperluan perbelanjaannya sendiri dan menghargai pengumuman Perdana Menteri mengenai pemberian interim sebanyak RM1.5 bilion kepada Sarawak.
“Bagi saya, penyaluran RM1.5 bilion tersebut merupakan antara bukti keikhlasan, kejujuran dan kemahuan politik Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi janji yang telah dibuat.
“Sebagai wakil rakyat kawasan pedalaman, saya melihat peruntukan RM1.5 bilion itu akan banyak membantu pembangunan bukan sahaja di kawasan saya, tetapi di kawasan pedalaman seluruh Sarawak.
“Kita berharap tiga perkara utama diberikan perhatian, iaitu jalan raya yang baik, bekalan elektrik dan telekomunikasi lebih baik serta bekalan air bersih,” katanya.
