KUCHING: Sarawak menjadi tuan rumah sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 dengan acara kemuncak dijadual pada 1 dan 2 Disember di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo berkata, majlis prapelancaran HPTN 2026 turut menjadi ruang menilai pencapaian serta cabaran yang dihadapi warga profesion teknikal.
“HPTN 2026 membawa mesej jelas bahawa pembangunan negara pada masa hadapan memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi, teknologi yang tepat dan komitmen terhadap kelestarian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak juga merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena Majlis Prapelancaran Hari Profesion Teknikal Negara 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kelestarian perlu diterapkan dalam setiap keputusan berkaitan lokasi, reka bentuk, penggunaan bahan, kaedah pembinaan dan penyelenggaraan bagi memastikan keselamatan, perbelanjaan awam serta alam sekitar diberi perhatian.
“Kita perlu memastikan pembangunan infrastruktur bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar tetapi turut memberi manfaat kepada kawasan luar bandar.
“Tiada rakyat harus tercicir daripada manfaat pembangunan infrastruktur,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan pembukaan Jambatan Batang Igan pada Mac lalu yang menghubungkan penduduk Igan, Matu dan Daro melalui jalan raya merentasi sungai sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan projek perlu disokong perancangan teratur dengan isu pertapakan, reka bentuk, utiliti dan bekalan bahan dikenal pasti lebih awal.
Penggunaan teknologi seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), sistem maklumat geografi dan kecerdasan buatan turut digalakkan mengikut keperluan tugas, selain disokong latihan serta semakan oleh pegawai kompeten.
Beliau berharap HPTN 2026 menjadi ruang perkongsian pengalaman, jaringan profesional, pendidikan serta interaksi antara pemain industri dan masyarakat, selain menyokong pembangunan bakat teknikal menerusi latihan industri, bimbingan kerjaya dan pembelajaran berterusan. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
