KUCHING: Industri acara perniagaan Sarawak memasuki fasa baharu menerusi pelancaran Sarawak Business Events Analytics and Collaboration Network (Sarawak BEACON), platform data berpusat bagi perancangan industri untuk 20 tahun akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, platform itu menghimpunkan data industri, risikan pasaran dan kerjasama bagi membantu membuat keputusan berasaskan maklumat.
“BEACON mewakili kecerdasan yang diperlukan untuk membimbing 20 tahun akan datang selepas dua dekad pertama membina industri acara perniagaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan perasmian yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-20 Business Events Sarawak, di sini, malam ini.
Menurutnya, acara perniagaan turut menjadi medium membawa ilmu, kepakaran, rangkaian, inovasi dan peluang pelaburan ke Sarawak selari dengan agenda pembangunan negeri.
“Acara yang dibawa ke Sarawak harus semakin melengkapi masa depan yang sedang kita bina termasuk ekosistem semikonduktor, ekonomi tenaga, keupayaan digital dan sektor penjagaan kesihatan,” tambahnya.
Beliau berkata, Kuching bakal menjadi tuan rumah Kongres dan Pameran Air Dunia Persatuan Air Antarabangsa pada 2028 yang dijangka membawa kira-kira 10,000 delegasi dari seluruh dunia.
Pada masa sama, katanya pembangunan kapasiti turut melibatkan pengembangan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK 2), kemasukan lebih banyak hotel dan kemudahan sokongan serta peningkatan hubungan udara melalui AirBorneo.
Kerajaan Sarawak akan terus menyokong industri acara perniagaan sebagai platform yang menyumbang kepada impak ekonomi, sosial dan alam sekitar selain menyokong keutamaan pembangunan negeri. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
