Business Events Sarawak catat impak ekonomi RM4.95 bilion

KUCHING: Business Events Sarawak merekodkan 1,587 acara perniagaan sejak 2006 dengan anggaran impak ekonomi RM4.95 bilion selain menerima lebih setengah juta delegasi sepanjang 1.9 juta hari delegasi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu mencerminkan pertumbuhan industri selama 20 tahun serta peningkatan keupayaan tempatan dan keyakinan antarabangsa terhadap Sarawak.

“Sejak 2006, Sarawak memperoleh 1,587 acara perniagaan dengan anggaran impak ekonomi sebanyak RM4.95 bilion, selain menerima lebih setengah juta delegasi sepanjang 1.9 juta hari delegasi,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-20 Business Events Sarawak, di sini, malam ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abdul Karim berkata, pada 2025, Sarawak mencatat tahun paling kukuh dalam sejarah acara perniagaan dengan 160 acara yang menjana anggaran impak ekonomi RM262.8 juta.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa prestasi ekonomi dan legasi boleh bergerak seiring dan apabila kedua-duanya digabungkan, ia saling menguatkan,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, AI LEGACY dan LEGACY360 diwujudkan pada 2025 bagi mengukur impak acara perniagaan serta menghimpunkan ekosistem menerusi pendidikan, kepimpinan, pengiktirafan dan kerjasama. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI