Proses ambilan tanah tidak abai hak pemilik

KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu proses pengambilan tanah bagi projek pembangunan di negeri ini disokong penilaian yang profesional.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dalam fungsi penilaian, cabarannya semakin kompleks apabila Sarawak melaksanakan lebih banyak projek infrastruktur, pembangunan bandar dan pelaburan berskala besar.

“Proses pengambilan tanah perlu disokong oleh penilaian yang profesional, konsisten dan dapat dipertahankan supaya pembangunan dapat dilaksanakan tepat pada masanya, tanpa mengabaikan hak pemilik tanah untuk menerima pampasan yang adil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2026 di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dan tetamu kenamaan lain.

Di samping itu, Abang Johari juga mahu fungsi penilaian bergerak lebih jauh ke arah data-driven valuation, dengan penggunaan data transaksi, maklumat geospatial dan analitik pasaran yang lebih tersusun.

Katanya, ini akan meningkatkan ketepatan penilaian, mempercepat keputusan kerajaan, mengurangkan pertikaian dan memastikan hasil negeri dinilai secara wajar.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak kekal komited mempercepat penyukatan dan pengeluaran hak milik Tanah Hak Adat (NCR).

Katanya, ini dengan lebih 1.25 juta hektar tanah itu diukur seluruh Sarawak melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu sehingga 31 Ogos 2026.