KUCHING: Empat projek legasi akan dilaksanakan sempena Forum Perbandaran Sarawak (SUF) 2.0 mulai 24 hingga 27 Oktober ini di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, projek tersebut merupakan usaha memperkukuhkan pembangunan bandar yang mampan, mesra komuniti dan berteknologi.
“Pembangunan Dataran Perayaan di Lebuh Java, rangkaian penghubung taman, Projek 3R Kuching Utara (3RKU) serta Taman dan Galeri Buluh.
“Projek Dataran Perayaan di Lebuh Java dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mendapat kerjasama PETRONAS Sarawak bagi menceriakan kawasan berkenaan selain menyediakan ruang awam untuk kegunaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran awal Projek Legasi SUF 2.0 di Lebuh Java, di sini, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu, dan Ahli Dewan DBKU Iskandar Sharkawi dan Sih Hua Tong.
Menurutnya, Dataran Perayaan itu akan menjadi antara lokasi sambutan Hari Raya, Hari Gawai, Krismas dan Tahun Baharu Cina selain menyediakan kemudahan untuk semua peringkat umur termasuk warga emas, belia dan kanak-kanak.
Katanya, kemudahan yang dirancang turut merangkumi replika kucing sebagai mercu tanda, tandas pintar serta sistem kitar semula air hujan.
“Projek seluas kira-kira 1,230 meter persegi itu dianggarkanp kos bernilai RM1.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh lapan bulan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, projek rangkaian penghubung taman pula akan menghubungkan beberapa taman di kawasan pentadbiran DBKU menerusi laluan berjalan kaki, berjoging dan berbasikal yang dilengkapi teknologi pintar.
“Projek 3RKU pula merupakan kesinambungan inisiatif SUF terdahulu bagi menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan warga kota.
“Manakala Taman dan Galeri Buluh akan dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) sebagai ruang hijau serta tarikan baharu bandar raya,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, DBKU akan melancarkan Pelan Induk Rendah Karbon bagi tempoh lima tahun sempena SUF 2.0 sebagai panduan mengurangkan pelepasan karbon di Bandar Raya Kuching Utara.
Menurutnya, projek legasi SUF 2.0 turut memberi penekanan kepada aspek kemasyarakatan dan kesejahteraan warga kota selaras dengan perkembangan pesat urbanisasi.
“Pembangunan bandar bukan hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan masyarakat yang menggunakan kemudahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan juga berpotensi menjadikan Tebingan Kuching sebagai satu lagi lokasi ikonik yang menjadi tumpuan pelancong.
Katanya, keseluruhan projek itu diharap menjadi titik tolak kepada usaha DBKU membangunkan Bandar Raya Kuching Utara yang lebih inklusif, selesa dan berorientasikan kesejahteraan masyarakat.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
