DARO: Pembukaan Jambatan Batang Paloh pada 30 Oktober ini bakal memperkukuhkan rangkaian perhubungan pesisir tengah Sarawak dengan menyediakan laluan alternatif ke Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Kuching.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, jambatan sepanjang 1.7 kilometer (km) itu menjadi satu lagi komponen penting dalam usaha kerajaan negeri melengkapkan jaringan jalan pesisir Sarawak.
Katanya, pembukaan jambatan berkenaan akan melengkapkan rangkaian perhubungan bersama beberapa jambatan utama lain termasuk Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Rajang (Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang).
“Pembukaan jambatan ini akan melengkapkan lagi rangkaian perhubungan di kawasan pesisir tengah.
“Pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan laluan, sama ada menuju ke Sarikei melalui Jambatan Batang Rajang atau ke Mukah dan Bintulu melalui Jambatan Muara Lassa serta Batang Igan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan Majlis Penyambungan Bongkah Terakhir Jambatan Batang Paloh di sini, hari ini.
Aidel berkata, kerja menuang konkrit bagi segmen terakhir jambatan berkenaan dilaksanakan hari ini, menandakan struktur utama projek bernilai kira-kira RM298.49 juta itu hampir siap sepenuhnya.
Katanya, kontraktor kini mempunyai kira-kira tiga minggu untuk menyelesaikan baki kerja termasuk penurapan permukaan jambatan sebelum laluan dibuka kepada orang ramai.
“Hari ini merupakan satu lagi hari bersejarah bagi kita apabila konkrit bagi segmen terakhir Jambatan Batang Paloh dilakukan.
“Jambatan ini akan dibuka kepada orang ramai pada 30 Oktober, maknanya tinggal lebih kurang tiga minggu lagi untuk menyiapkan baki kerja,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan turut mencatatkan pencapaian keselamatan membanggakan dengan merekodkan 1.93 juta jam bekerja tanpa kemalangan sepanjang tempoh pembinaannya.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab; ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris.
