KUCHING: Sarawak menyasarkan penanaman buluh komersial seluas 30,000 hektar dan 2,000 hektar tanaman buluh komuniti menjelang 2030.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datuk Len Talif Salleh berkata, setakat ini hanya 1,514 hektar kawasan ditanam dengan buluh melibatkan 18 syarikat komersial dan 200 peserta komuniti.
“Untuk mencapai sasaran itu, semua pihak perlu merancang strategi dan bekerjasama bagi memastikan penanaman buluh dapat dilaksanakan mengikut matlamat yang ditetapkan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Hari Buluh Sarawak 2026 bertemakan Buluh Merentasi Sempadan, di sini, hari ini.
Menurutnya, buluh berpotensi menjadi sumber bahan mentah boleh diperbaharui yang menyokong pembangunan industri mampan.
“Selain itu, berperanan dalam pemeliharaan alam sekitar.
“Keutamaan kita memastikan hasil tinggi dan kualiti buluh yang memenuhi keperluan industri melalui penggunaan bahan tanaman berkualiti, teknologi bersesuaian serta amalan silvikultur yang baik,” tambahnya.
Len Talif berkata, buluh boleh dituai dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan mempunyai pelbagai kegunaan industri, termasuk pembuatan perabot, lantai, pembungkusan, tekstil serta produk kraf tangan.
Seminar itu diharap menjadi platform untuk berkongsi pengetahuan, membina kerjasama dan menarik pelaburan baharu bagi mewujudkan industri buluh yang mampan serta berdaya saing di Sarawak. -ALYA MEDINA/ JIWA BAKTI
