KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) di Sarawak dijangka bermula pada Julai 2028 menerusi Siri 3/2028 yang dijadual berlangsung sehingga Ogos tahun berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persiapan bagi pelaksanaan program itu sedang giat dijalankan termasuk mendapatkan kelulusan penggunaan tanah.
Katanya, latihan berkenaan akan dilaksanakan di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 511, Rejimen 511 Askar Wataniah, Kem Semantan, Sarawak dengan kapasiti maksimum 300 pelatih.
“Daripada jumlah tersebut, 60 peratus kuota diperuntukkan kepada peserta dari Sarawak, 30 peratus dari Sabah dan 10 peratus dari Kuala Lumpur.
“Pembahagian kuota ini bertujuan meningkatkan penyertaan belia dari Malaysia Timur, selain memperkukuh perpaduan nasional,” katanya menerusi jawapan lisan daripada Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di sini, hari ini.
Dalam soalan lisannya, Ahmad Johnie meminta kementerian terbabit menyatakan tarikh pelaksanaan, kriteria pemilihan, jumlah serta kuota peserta khususnya bagi memastikan belia luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada menyertai program berkenaan.
Mohamed Khaled berkata, walaupun PLKN 3.0 di Sarawak hanya dijadual bermula pada 2028, penyertaan belia dari negeri ini sebenarnya telah bermula sejak Siri 1/2025.
“Bagi tempoh 2025 dan 2026, seramai 94 pelatih dari Sarawak menyertai PLKN 3.0 merentasi tujuh siri pelaksanaan, iaitu tiga siri pada 2025 dan empat siri pada 2026,” katanya.
Mengulas mengenai kaedah pengambilan, Mohamad Khaled menjelaskan pemilihan pelatih dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu pengundian secara rawak dan permohonan secara sukarela.
Antara kriteria ditetapkan ialah warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 25 tahun mengikut tahun kelahiran, sihat tubuh badan serta tidak pernah menyertai mana-mana siri PLKN sebelum ini.
Sehubungan itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), melalui Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), memutuskan bahawa wakil MLKN dari Sarawak turut mengenalpasti dan mencadangkan nama calon dari luar bandar dan pedalaman untuk dipertimbangkan dalam pengambilan pelatih.
Pendekatan ini akan dilaksanakan setelah wakil MLKN dari Sarawak dilantik.
