KUCHING: Kira-kira 100 pengamal media daripada pelbagai agensi menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Media anjuran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Penganjuran majlis itu bagi memperkukuhkan hubungan dan komunikasi erat di antara kepimpinan negeri dengan pengamal – pengamal media sama ada dari media cetak, televisyen, radio mahupun media atas talian.
Dalam majlis sama, Dr. Sim yang Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N14 Batu Kawah turut meluangkan masa beramah mesra dari meja ke meja bertemu rakan media yang hadir dan merakam gambar kenangan.
Majlis yang diadakan dalam suasana santai itu turut membuka ruang interaksi lebih dekat antara pemimpin negeri dengan pengamal media.
Turut hadir, isteri Dr Sim, Datin Amar Enn Ong, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang serta ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
