DARO: Pembukaan Jambatan Batang Paloh pada 30 Oktober ini dijangka membuka lembaran baharu kepada kira-kira 12,000 penduduk di 14 penempatan Pulau Bruit.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, ini khususnya dalam memperluaskan peluang ekonomi serta memudahkan pemasaran hasil pertanian dan perikanan.
Katanya, kemudahan itu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi masyarakat.
“Penyambungan bongkah terakhir jambatan berkenaan menandakan berakhirnya penantian panjang penduduk selepas projek itu mengalami kelewatan kira-kira dua tahun akibat beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan.
“Bagi pihak kira-kira 12,000 penduduk daripada 14 penempatan di Pulau Bruit, saya bersyukur kerana akhirnya penantian sekian lama untuk melihat Jambatan Batang Paloh siap menjadi kenyataan.
“Dengan siapnya jambatan ini, lengkaplah rangkaian perhubungan jalan pesisir yang amat penting untuk memudahkan penghantaran hasil laut dan pertanian ke pasaran,” katanya selepas Majlis Penyambungan Bongkah Terakhir Jambatan Batang Paloh, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata, jaringan jalan raya dan jambatan yang semakin lengkap akan membuka lebih banyak ruang kepada penduduk luar bandar menjana pendapatan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peluang ekonomi di bandar.
Katanya, empat jambatan utama dalam lingkungan kira-kira 50 kilometer (km) di kawasan berkenaan, iaitu Jambatan Batang Rajang atau Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang, Batang Lassa, Batang Paloh dan Batang Igan, merupakan sebahagian usaha melengkapkan jaringan jalan pesisir Sarawak sepanjang kira-kira 900km.
“Jaringan jalan pesisir ini melibatkan pembinaan tidak kurang daripada 20 jambatan utama dengan nilai keseluruhan projek jambatan dianggarkan sekitar RM11 bilion, tidak termasuk pembinaan jalan raya.
“Bagi saya, jalan raya dan jambatan merupakan urat saraf kepada perkembangan ekonomi masyarakat luar bandar, selain membuka kawasan baharu untuk aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, Pulau Bruit yang merupakan pulau kedua terbesar di Malaysia kini mempunyai dua jambatan utama yang menghubungkannya dengan kawasan sekitar, termasuk Jambatan Batang Lassa sepanjang 2.4 km.
