Cadangan pindahkan feri Batang Paloh ke kawasan masih terputus hubungan darat

TANJUNG MANIS: Perkhidmatan feri Batang Paloh dicadangkan dipindahkan ke kawasan lain yang masih bergantung kepada pengangkutan air susulan pembukaan Jambatan Batang Paloh kepada orang ramai pada 30 Oktober ini.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab berkata, operasi perkhidmatan dijangka dihentikan sebaik sahaja jambatan itu dibuka sepenuhnya.

“Kemudahan feri yang tidak lagi diperlukan di laluan berkenaan wajar dimanfaatkan di lokasi lain bagi membantu penduduk yang masih belum mempunyai akses jalan darat.

“Antara kawasan yang boleh dipertimbangkan ialah Kampung Paloh yang sehingga kini masih belum menikmati kemudahan perhubungan darat,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pemindahan kemudahan itu dapat membantu meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kawasan berkenaan, selain memastikan kemudahan sedia ada dimanfaatkan untuk rakyat.

Dalam pada itu, Yusuf turut menegaskan kepentingan menyelenggara ramp feri Batang Paloh dengan baik walaupun perkhidmatan berkenaan tidak lagi beroperasi selepas jambatan dibuka.

“Saya berpendapat, ia boleh dimanfaatkan bagi pemantauan struktur jambatan serta membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh agensi berkaitan sekiranya berlaku kecemasan di sungai,” katanya.