Gaji minimum dinaik ke RM2,000 mulai Jun 2027

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027 menerusi Belanjawan MADANI 2027.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih empat juta pekerja bakal menerima manfaat daripada kadar gaji minimum baharu itu, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan.

“Kesenjangan produktiviti dan upah pekerja mesti dirapatkan kerana beban kos sara hidup terus membebankan rakyat apabila pendapatan tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan,” katanya.

Beliau berkata semasa membentangkan Belanjawan Madani Kelima Tahun 2027, di sini, hari ini.

Kerajaan turut memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai langkah memastikan pendapatan pekerja lebih setimpal dengan kelayakan mereka.

“Saya menggesa semua majikan swasta mengikut jejak langkah kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan yang menetapkan penanda aras gaji sara hidup RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini,” tambahnya.

Sementara itu, syarikat selain PMKS hanya layak menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya pembayaran dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.