Belanjawan 2027: Sarawak terima peruntukan RM16.2 bilion, tertinggi setakat ini

KUALA LUMPUR: Sarawak menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM16.2 bilion menerusi Belanjawan 2027 meningkat RM1.1 bilion berbanding RM15.1 bilion pada tahun ini.

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, peruntukan untuk Sabah dan Sarawak kekal pada paras tertinggi, dengan Sabah menerima RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, dalam usaha memperkukuhkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Kerajaan Persekutuan turut meningkatkan kadar Pemberian Khas sebanyak tiga kali ganda dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion yang akan dilunaskan sebelum akhir tahun ini.

Rundingan bersama Sabah dan Sarawak juga diteruskan bagi memuktamadkan formula pemberian tahunan yang adil dan mampan.

Setakat ini katanya, sebanyak 12 perkara berkaitan MA63 dimuktamadkan di bawah Kerajaan MADANI, termasuk penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak, pengambilalihan MASWings yang kini dikenali sebagai AirBorneo serta pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara itu jelasnya, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan rasmi dengan Kerajaan Sarawak untuk memuktamadkan kerangka insentif, pusat pemudah cara pelaburan sehenti dan keperluan infrastruktur strategik bagi pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu.

Dalam perkembangan lain katanya, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak pada 2027, termasuk Lebuhraya Trans Borneo serta Sarawak-Sabah Link Road Satu yang disasarkan siap menjelang akhir tahun depan.

Kerajaan turut jelas beliau menyediakan RM350 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan yang dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 di kedua-dua negeri.

Dalam bidang Pendidikan pula katanya, tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak akan digandakan, sekali gus membuka peluang kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.