KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2027 kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion tahun ini.
Pertambahan itu sekali gus memberi manfaat kepada jutaan rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, yang dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ambang tujuh dasawarsa kemerdekaan.
“Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).
“Selain itu, kerajaan bersetuju memperluaskan penggunaan SARA untuk pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima Tahun 2027 bertemakan Mengagapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setakat ini terdapat 15,000 premis rakan niaga SARA, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi, dengan kerajaan menyasarkan peningkatan jumlah kedai runcit kecil kepada 10,000 sebelum akhir tahun ini.
“Dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, peruntukan Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI turut ditingkatkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta, dengan sasaran 35,000 penganjuran,” ujarnya.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 30,000 program Jualan RAHMAH MADANI akan dilaksanakan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 5,000 program Jualan Agro MADANI menawarkan hasil tani segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.
Beliau berkata, pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman turut diperluas menerusi peruntukan RM250 juta, termasuk pembukaan enam lokasi baharu seperti Kampung Terian di Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Godam di Pusa, Sarawak.
Sementara itu, katanya lagi, kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah pelepasan cukai bagi membantu golongan pertengahan menangani tekanan kos sara hidup, termasuk menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, berbanding kadar yang tidak disemak sejak 2010.
“Kadar cukai pendapatan individu pemastautin bagi banjaran pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus, manakala banjaran RM100,000 hingga RM150,000 diturunkan kepada 24 peratus.
“Pelepasan cukai individu turut diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, pembelian kasut sukan, semua bidang pengajian dan tuisyen anak, serta langganan kecerdasan buatan (AI) dan kos pemvaksinan haiwan peliharaan yang diambil daripada pusat berdaftar,” ujarnya.
