KUCHING: Tiada Rang Undang-Undang (RUU) baharu diperkenalkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak (Sidang Belanjawan) yang bersidang mulai 12 hingga 21 Oktober ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, sebaliknya RUU yang ditetapkan adalah RUU Perbekalan 2027, RUU Perbekalan Tambahan 2026, RUU Pindaan Perpustakaan Negeri Sarawak dan RUU Pindaan Cuti Umum 2026.
Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membentangkan RUU Perbekalan 2027 (Bajet 2027) pada hari pertama persidangan, katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Prapersidangan DUN Sarawak yang dipengerusikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, di sini.
Mohamad Asfia berkata, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu ll, Datuk Amar Douglas Uggah akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan 2026 juga pada hari pertama persidangan.
RUU Pindaan Perpustakaan Negeri Sarawak akan dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan RUU Pindaan Cuti Umum 2026 akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, katanya.
Mohamad Asfia berkata, pada persidangan DUN yang terakhir ini, sebanyak 336 soalan (lisan dan bertulis) daripada 40 ADUN setakat 28 September lalu untuk dijawab dan dibahaskan.
Daripada 338 soalan itu, 264 adalah soalan dilisankan dikemukakan oleh 13 ADUN dan selebihnya soalan bertulis dikemukakan oleh 13 ADUN, tambahnya.
Beliau berkata, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerima bilangan tertinggi dengan 56 soalan dan perkara penting pada persidangan kali ini ialah memilih Senator baharu bagi menggantikan Tan Sri Datuk Michael Mujarraqi Tagar yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 10 Disember 2026.
Walaupun tiada pencalonan baharu diterima pada tarikh tutup 2 Oktober lalu, sesi pemilihan tetapi akan diadakan pada 21 Oktober ini, katanya.
