KUALA LUMPUR: Belanjawan MADANI 2027 dijangka memberi manfaat kepada rakyat Sarawak, terutama penduduk luar bandar, menerusi peruntukan pembangunan negeri kepada RM16.2 bilion.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, belanjawan itu turut merangkumi prasarana asas desa, bantuan pendidikan.
Katanya, belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memperuntukkan RM3.3 bilion bagi prasarana asas desa dijangka membantu meningkatkan kemudahan asas penduduk.
Ini termasuk bekalan air, elektrik, lampu jalan kampung dan kemudahan komuniti.
“Saya harap pelaksanaan projek prasarana ini dilaksanakan dengan berkesan akan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merapatkan jurang bandar dengan luarbandar,” katanya ketika mengulas Belanjawan 2027 yang dibentang hari ini.
Ahmad Johnie berkata, tajaan JPA kepada 4,200 anak kelahiran Sarawak dan Sabah akan meringankan beban kewangan keluarga serta meluaskan peluang pelajar, khususnya dari luar bandar, melanjutkan pengajian ke universiti.
Katanya, bantuan Awal Persekolahan turut dinaikkan kepada RM200 berbanding RM150 sebelum ini, dengan peruntukan RM1 bilion bagi memberi manfaat kepada 5.2 juta murid di seluruh negara.
“Bantuan itu dapat membantu ibu bapa menampung kos persediaan persekolahan anak-anak, termasuk pembelian pakaian, kasut, alat tulis dan keperluan pembelajaran lain,” ujarnya.
Ahmad Johnie berkata, inisiatif FlySiswa MADANI 2027 akan menaikkan bantuan tiket penerbangan pelajar daripada RM400 kepada RM500, sekali gus meringankan kos perjalanan lebih 60,000 penuntut institusi pengajian awam.
Katanya, kerajaan juga mengumunkan elaun murid berkeperluan pendidikan khas dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, memanfaatkan 150,000 murid termasuk di Sarawak dengan peruntukan RM300 juta bagi meringankan kos persekolahan dan keperluan harian.
Ahmad Johnie sehubungan itu, berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peningkatan peruntukan kepada Sarawak sebanyak RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion pada 2026, bagi memperkukuh infrastruktur asas dan merapatkan jurang pembangunan bandar serta luar bandar.
Beliau berkata, bertemakan “ Mengapai di langit, Mengakar di bumi” belanjawan itu mencerminkan aspirasi kerajaan memajukan negara sambil menjaga kebajikan rakyat, termasuk memastikan pembangunan infrastruktur asas dan bantuan sampai ke kawasan desa serta pedalaman Sarawak.
