KUCHING: Sebanyak 13 daripada 29 perkara di bawah platform rundingan rasmi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan sepenuhnya setakat September 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, lima lagi perkara mencapai penyelesaian secara sebahagian atau interim.
“Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan terus menjadi asas kepada usaha kita dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak,” katanya semasa berucap sempena Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak , di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Beliau berkata, antara perkembangan penting tahun ini ialah penyerahan status dan kuasa pengurusan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak mulai 1 September lalu.
Pengambilalihan itu dipersetujui pada nilai RM1.8 bilion menerusi proses penilaian dan rundingan teliti antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.
Abang Johari berkata, penyerahan dokumen rasmi pelabuhan itu disaksikan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu selepas 45 tahun berada di bawah pengawasan Kerajaan Persekutuan.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus mengukuhkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan melalui rundingan berterusan berasaskan persefahaman dan semangat setia kawan di bawah Perlembagaan dan MA63,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap peningkatan Pemberian Khas Interim kepada Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini.
Menurutnya, usaha menetapkan formula pengagihan yang adil antara kedua-dua kerajaan masih diteruskan.
Sarawak akan terus memperjuangkan hak dan kepentingannya melalui rundingan berterusan berlandaskan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan. – AYLA MEDINA/NORAIDA ABDUL KASIM/ HERRIEY NAHA
