Satu telaga minyak Sarawak jana RM96 juta setahun

KUCHING: Pengeluaran minyak di Adong Kechil West dekat Marudi, mencatat 800 tong sehari dengan nilai kira-kira RM96 juta setahun berdasarkan harga semasa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha perlombongan minyak di daratan Sarawak menunjukkan potensi yang memberangsangkan.

“Pengeluaran minyak di Adong Kechil West dekat Marudi ialah 800 tong sehari bersamaan RM8 juta sebulan berdasarkan harga sekarang iaitu bersamaan RM96 juta setahun daripada satu telaga,” katanya semasa berucap sempena Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Dalam sektor gas, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan membangunkan satu lagi telaga pada pertengahan tahun 2027 bagi membekalkan gas kepada Stesen Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri.

Selain itu, PETROS merancang menggerudi sebuah lagi telaga penerokaan di Kuala Baram yang mempunyai potensi pengeluaran gas yang menggalakkan.

Dalam masa sama, PETROS sedang membangunkan saluran paip gas sepanjang 65 kilometer (km) bagi menyalurkan bekalan dari Kidurong ke Zon Perindustrian Samalaju di Bintulu.

“Pada masa ini Petros sedang membangunkan saluran paip gas sepanjang 65 kilometer untuk menyalurkan gas dari Kidurong ke Zon Perindustrian Samalaju dekat Bintulu.

“Kawasan Samalaju akan mendapat bekalan gas apabila projek ini siap pada penghujung tahun ini,” tambahnya.

Mengulas lebih lanjut, projek saluran paip gas itu dijadual siap pada penghujung 2026 sekali gus membolehkan Zon Perindustrian Samalaju menerima bekalan gas bagi menyokong keperluan industrinya. – AYLA MEDINA/NORAIDA ABDUL KASIM/ HERRIEY NAHA