KUCHING: Lebih 50 peratus pesakit kanser payudara di Sarawak dikesan pada tahap lewat iaitu peringkat tiga dan empat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, saringan awal penting bagi membolehkan pesakit mendapat pilihan rawatan yang lebih baik.
“Kanser payudara merangkumi 17.6 peratus daripada keseluruhan kes kanser.
“Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang, tahap pendidikan atau profesion,” katanya semasa Program Kesedaran Kanser Payudara 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, cabaran mendapatkan saringan dan rawatan lebih ketara dalam kalangan penduduk luar bandar berikutan kekangan pengangkutan, kos perjalanan serta penginapan.
“Kesedaran perlu diterjemahkan kepada tindakan melalui saringan awal, pematuhan terhadap rawatan dan sokongan berterusan kepada pesakit termasuk bantuan kewangan, pengangkutan serta penginapan,” tambahnya.
Fatimah berkata, sehubungan itu kerjasama kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat penting bagi meningkatkan kesedaran, membantu pesakit meneruskan rawatan serta memastikan kesejahteraan emosi dan keyakinan diri mereka terus terpelihara.
