Pelajar perlu pilih kursus pengajian sesuai kehendak pasaran semasa

KUCHING: Pelajar disaran memilih kursus pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang bersesuaian dengan keperluan semasa dan masa depan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

Katanya, langkah itu penting bagi meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, pelajar perlu berusaha memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baik sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Selepas itu, cuba mendapatkan tempat di IPT dan pilih kursus bersesuaian dengan kehendak semasa serta masa depan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi dialog khas sempena Program Motivasi Sedia Menghadapi Masa Depan anjuran Pergerakan Pemuda dan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.7 Samariang di Dewan Serbaguna Taman Sukma, di sini, hari ini.

Kira-kira 100 peserta terdiri daripada Belia, Pemuda Parti PBB, pelajar sekolah menengah dari DUN Samariang menyertai program sehari anjuran Biro Pendidikan dan Belia cawangan tersebut.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.7 Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurut Fadillah, ada dalam kalangan graduan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian kerana bidang yang diceburi tidak lagi mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kerja.

Katanya, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi automasi turut mengubah landskap pekerjaan, sekali gus menuntut golongan muda menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Teknologi semakin berkembang. Ada pekerjaan yang wujud pada zaman dahulu tetapi semakin berkurangan hari ini, dan keadaan ini mungkin berterusan pada masa depan.

“Bidang profesional seperti perkhidmatan nasihat undang-undang juga mungkin mengalami perubahan apabila orang ramai boleh mendapatkan maklumat awal melalui alat seperti ChatGPT,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan kursus yang tepat bukan sahaja meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan, malah membuka ruang kepada graduan untuk menceburi bidang keusahawanan dan menyumbang kepada pelaksanaan program pembangunan negeri.

Antara bidang yang mempunyai kepentingan ialah kejuruteraan, sains dan psikologi, selain bidang baharu yang sedang diberi perhatian Sarawak seperti aeroangkasa, penggunaan satelit, kecerdasan buatan, tenaga boleh baharu dan tenaga bersih.