Belia penentu hala tuju pembangunan Sarawak – Hasidah

KUCHING: Belia memainkan peranan penting menentukan hala tuju pembangunan Sarawak kerana mereka bakal mewarisi tanggungjawab meneruskan kemajuan negeri pada masa depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pendidikan tinggi percuma disediakan bagi membolehkan generasi muda meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Katanya, peranan belia amat besar bukan sahaja dalam pembangunan kawasan Samariang, malah turut merangkumi masyarakat, komuniti, negeri dan negara.

“Apa yang kita usahakan sekarang ialah demi belia dan masa depan mereka. Pada suatu hari nanti, tanggungjawab itu akan dipikul di bahu anak-anak muda,” katanya pada Program Dialog Belia N.7 Samariang yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, hari ini.

Beliau turut menggalakkan golongan pelajar menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin penting bagi memenuhi keperluan industri.

Menurutnya, pelajar yang tidak melanjutkan pengajian ke universiti masih berpeluang membina kerjaya melalui latihan kemahiran yang ditawarkan institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan GIATMARA, selaras dengan permintaan pasaran pekerjaan.

“Peluang pekerjaan ada, tetapi kesesuaiannya bergantung pada kemahiran yang dimiliki. Kita mesti bergerak mengikut perubahan zaman, khususnya apabila pasaran memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal, digital dan sains.

“Jangan gunakan telefon semata-mata untuk bergaya, hiburan atau bermain. Gunakanlah teknologi untuk menuntut ilmu dan meningkatkan kemahiran. Anak-anak Sarawak juga boleh berjaya, jadi rebut peluang yang ada untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang,” tegasnya.