KUCHING: Persembahan seni, tayangan dokumentari khas dan suasana kekeluargaan antara pengisian Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, malam tadi.
Majlis turut menampilkan persembahan artis tempatan, termasuk Karen Libau, Chien Ng, Firdaus Materang dan Mal Imran, selain penampilan khas Daus Eli serta Haziq Rosebi. Sambutan turut dimeriahkan dengan Konsert Rakyat di Padang Merdeka yang menampilkan Floor 88, Aina Abdul dan Dato Amy Search.
Antara pengisian utama ialah tayangan video Perjalanan Empat Dasawarsa Menabur Bakti yang memaparkan perjalanan hidup dan kerjaya Tun Wan Junaidi sepanjang 40 tahun, diikuti tayangan Kembara D’Astana yang merakam kunjungan beliau bersama keluarga ke Teriso, Sebuyau dan Lingga pada 2 dan 3 Mei 2026.
Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Majlis Seni Sarawak (MSS), diikuti bacaan doa oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Sebelum jamuan makan, Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menyempurnakan upacara memotong kek sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-80.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak serta barisan menteri, timbalan menteri dan dif kenamaan lain.
