KUCHING: Isu-isu yang masih tertunggak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diberi keutamaan diselesaikan dalam Kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, sebagai menteri dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal Sabah Sarawak ini adalah menjadi keutamaannya.
Dalam memperjuangkan isu MA63 ini, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjadikan pantun empat kerat Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) sebagai inspirasi untuk membantu memajukan Sarawak.
Nyiur gading puncak mahligai;
Sayang ketupat berisi inti;
Hancur daging tulang berkecai;
Belum dapat belum berhenti,”
“Bak kata Allahyarham Tok Nan dalam memperjuangkan hak Sarawak khususnya berkaitan MA63 yang diterjemahkan dalam pantun tersebut,” katanya kepada Jiwa Bakti menerusi kiriman WhatsApp ketika ditanya harapan beliau bagi Tahun 2024.
Fadillah menjelaskan, dalam memperjuangkan MA63 itu, beberapa isu masih lagi tertunggak tetapi dalam proses perbincangan.
Isu-isu tersebut antaranya:
- Pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, Cadangan Pindaan Item 25A (Pelancongan),
- Cadangan Pindaan Perkara 95B Mengenai Ubah Suaian Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak Mengenai Pembahagian Perundangan.
- Kuasa Autonomi Kesihatan, Kuasa Autonomi Pendidikan, Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak
- Kuasa mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman, Pembangunan kawasan sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan.
- Obligasi Kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan Pertambahan Perjawatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam menambahkata, beliau akan berusaha membantu Sarawak mencapai matlamat disasarkan iaitu mempunyai agenda terhadap tenaga boleh diperbaharui itu membolehkan dasar tenaga diatur semula.
Seperti Sarawak, katanya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu menjadikan Sarawak pengeluar utama tenaga hidrogen hijau di rantau ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ini kerana katanya, pembinaan dua loji hidrogen hijau sedang bermula dan langkah itu bagi memastikan negara berada di landasan yang betul untuk memenuhi komitmen sifar pelepasan bersih menjelang 2050.
“Maka ada keperluan untuk memindahkan projek daripada peringkat Front End Engineering Design (FEED) kepada fasa pembinaan dan operasi projek hidrogen Sarawak kini dalam peringkat FEED dan membolehkan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dijangka dapat dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.