Gabungan pengalaman generasi lama, baharu perkasa kesinambungan warisan budaya Melayu

KUCHING: Generasi muda perlu diberikan ruang untuk memainkan peranan dalam memelihara dan meneruskan warisan budaya Melayu Sarawak agar kekal relevan seiring perubahan zaman.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penglibatan golongan muda dalam aktiviti kebudayaan, pendidikan dan sejarah penting bagi memastikan warisan masyarakat Melayu terus berkembang.

Menurutnya, pengalaman generasi terdahulu perlu digabungkan dengan kemahiran serta pemikiran baharu generasi muda bagi memastikan kesinambungan warisan tersebut.

“Saya berharap generasi muda akan diberikan ruang untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan yang dianjurkan di wisma ini.

“Pengalaman generasi terdahulu perlu digabungkan dengan kemahiran dan pemikiran baharu generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Wisma Melayu Sarawak, di sini, malam ini.

Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anaknya, Dayang Norjihan hadir sama.

Mengimbas sejarah penubuhan Wisma Melayu Sarawak, Awang Tengah berkata, usaha tersebut bermula pada 1993.

Waktu itu ujarnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan penubuhan sebuah yayasan ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Budaya Melayu Sarawak Kedua.

Cadangan yang mendapat sokongan 135 peserta seminar itu membawa kepada penubuhan Yayasan Budaya Melayu Sarawak, yang kemudiannya dikenali sebagai Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.

“Perancangan pembinaan Wisma Melayu Sarawak bermula pada 2015.

“Ia melalui pelbagai cabaran termasuk gangguan akibat pandemik COVID-19 sebelum berjaya disiapkan,”ujarnya.

Jelasnya, bangunan yang mengambil inspirasi seni bina tengkolok atau destar itu melambangkan warisan, identiti dan martabat masyarakat Melayu Sarawak.

Selain itu,, Wisma berkenaan turut dilengkapi Dewan Utama, Pusat Sumber Melayu dan surau, manakala Muzium Tamadun Melayu Sarawak masih dalam perancangan.

Tambah beliau, Wisma Melayu Sarawak bukan sahaja menjadi lambang warisan masyarakat Melayu, malah diharap dapat berfungsi sebagai pusat ilmu, pendidikan, sejarah dan kebudayaan yang memberi manfaat kepada semua kaum di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berharap kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda bagi memastikan khazanah budaya dan sejarah Melayu Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang. -NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI