KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) akan diteruskan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Beliau berkata, pelaksanaannya tidak terhenti, justeru Kerajaan Sarawak komited mencari sumber kewangan agar dapat dilaksanakan secara berterusan.
Jelasnya, persoalan mengenai kelangsungan skim itu tidak seharusnya menjadi kebimbangan pelajar kerana kerajaan mengambil kira keperluan pembiayaan bagi memastikan manfaat FTES dapat diteruskan.
“Kerajaan akan terus mencari sumber kewangan bagi memastikan skim ini dapat dilaksanakan secara berterusan. Jadi, pelajar tidak perlu bimbang,” katanya ketika berucap pada Sesi Dialog FTES, di sini hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan FTES merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk memastikan lebih ramai anak Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibatasi kekangan kewangan.
Katanya lagi, kerajaan sebelum ini melihat kos pengajian tinggi, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sebagai antara faktor yang boleh mengehadkan peluang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
“Tanpa bantuan, kos pengajian kejuruteraan selama empat tahun boleh mencecah sekitar RM150,000, selain kos sara hidup yang boleh menambah kira-kira RM60,000.
“Secara keseluruhan, keluarga mungkin memerlukan sekitar RM200,000 hingga RM210,000 untuk menghantar seorang anak belajar dalam bidang kejuruteraan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berkata, Kerajaan Sarawak turut tidak mengenakan ikatan kepada penerima FTES selepas mereka menamatkan pengajian. – UKAS
