Operasi perintis ART Rembus-Northbank disasar hujung 2026

KUCHING: Operasi perintis Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bagi laluan Rembus ke Northbank disasarkan bermula hujung tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang menggunakan teknologi ART itu menjadikan Samarahan sebahagian daripada rangkaian utama sistem pengangkutan awam moden yang sedang dibangunkan Kerajaan Sarawak.

Katanya, kewujudan Depoh ART di Rembus turut mengukuhkan peranan Samarahan dalam pembangunan sistem pengangkutan awam bersepadu di wilayah Kuching.

“Perkhidmatan komersial sistem projek ART itu dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-10 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di sini, malam tadi.

Tambah beliau, apabila beroperasi kelak, sistem ART dijangka meningkatkan hubungan antara Samarahan dengan Kuching.

Selain itu, turut menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih baik kepada penduduk dan mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan Samarahan turut berpotensi dipacu oleh cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu di Tanjung Embang, Asajaya.

Katanya, projek berkenaan berpotensi membuka peluang baharu dalam sektor penerbangan, logistik, perdagangan, pelancongan dan pelaburan pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau mahu MPKS bersama agensi berkaitan mengambil kira keperluan perancangan guna tanah, infrastruktur dan kemudahan awam bagi memastikan pertumbuhan yang bakal berlaku dapat diurus secara teratur.

Dengan pertumbuhan penduduk yang menghampiri 200,000 orang, katanya, MPKS turut berdepan tanggungjawab yang semakin besar untuk memastikan penyediaan kemudahan awam, infrastruktur, pengangkutan, sistem saliran serta persekitaran selesa. – UKAS