KUCHING: Kejayaan seorang graduan Sarawak Skills memperoleh pekerjaan di Amerika Syarikat membuktikan tenaga kerja mahir tempatan mempunyai kemampuan dan daya saing untuk memenuhi keperluan industri di peringkat antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian itu turut memperlihatkan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
TVET katanya, mampu dalam melahirkan tenaga mahir bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta kemasukan pelaburan baharu ke Sarawak.
“Seorang graduan Sarawak Skills kini bekerja di Amerika Syarikat.Maknanya tenaga kerja kita diperlukan oleh dunia.
“Kalau Amerika Syarikat memerlukan tenaga kerja kita, ini menunjukkan graduan kita mempunyai kemahiran untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, kemasukan pelaburan antarabangsa khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum, kejuruteraan aeroangkasa dan tenaga hijau memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, pembangunan modal insan menerusi TVET perlu terus diberikan keutamaan bagi memastikan anak Sarawak mampu mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui pelaburan berkenaan.
Abang Johari berkata, perubahan landskap ekonomi dan perkembangan teknologi baharu turut membuka peluang kepada graduan bidang kemahiran.
Langkah tersebut ujarnya, untuk meningkatkan kerjaya daripada juruteknik kepada jurutera serta pengurusan korporat.
Justeru, beliau berharap graduan Sarawak Skills terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya mampu memainkan peranan dalam menjadikan Sarawak sebagai hab ekonomi utama di rantau ASEAN. -NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
