KUCHING: Manuskrip lama, sejarah lisan dan khazanah budaya Melayu Sarawak perlu dipelihara menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan warisan berharga itu tidak hilang ditelan arus pemodenan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Wisma Melayu Sarawak berpotensi memainkan peranan penting sebagai pusat dokumentasi, penyelidikan dan pengembangan budaya Melayu, termasuk memanfaatkan teknologi digital untuk tujuan berkenaan.
“Penggunaan AI boleh membantu usaha pendigitalan manuskrip lama, rakaman sejarah lisan serta pembangunan arkib digital yang membolehkan khazanah budaya Melayu Sarawak diakses dan dipelajari generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Wisma Melayu Sarawak di Jalan Diplomatik, di sini malam tadi.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.
Abang Johari menjelaskan, warisan masyarakat Melayu yang merangkumi bahasa, adat resam, kesusasteraan, seni persembahan, busana tradisional dan makanan warisan perlu dipelihara secara sistematik agar identiti budaya itu tidak terhakis.
“Kita berharap generasi muda bukan sekadar menjadi pewaris budaya, tetapi turut berperanan sebagai penyelidik, pencipta dan penggerak pendekatan baharu dalam memperkenalkan warisan Melayu Sarawak.
“Gabungan ilmu, kreativiti dan teknologi mampu memastikan warisan kita kekal relevan tanpa kehilangan identitinya,” katanya.
Abang Johari berkata, perasmian bangunan itu merupakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh institusi masyarakat Melayu, selain memelihara warisan dan kebudayaan yang menjadi sebahagian daripada identiti Sarawak.
Katanya, nilai sebenar Wisma Melayu Sarawak bukan hanya terletak pada keindahan dan keunikan seni bina yang mencerminkan identiti masyarakat Melayu.
Tetapi katanya, ia juga pada peranan sebagai pusat kegiatan ilmu, kebudayaan, pembangunan masyarakat dan ekonomi komuniti.
Beliau sehubungan itu, berharap Wisma Melayu Sarawak menjadi platform yang menghimpunkan institusi pengajian tinggi, penyelidik, penggiat seni dan pertubuhan masyarakat bagi memperluas penyelidikan serta pengembangan budaya Melayu.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri Dato Dayang Morliah Awang Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, bersama isteri, Dato Fatimah Mohd. Iskandar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr. Sanib Said serta yang lain.
